Penyelewengan Dana: Bukti Tidak Cukup Untuk Kaitkan Shafie

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mendapati tiada bukti yang cukup untuk tindakan selanjutnya terhadap bekas menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kes penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata siasatan terhadap Mohd Shafie telah dijalankan menurut Seksyen 17a Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bermula 21 April tahun lalu.

“Kertas siasatan dibuka pada 21 April 2017 dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Peguam Kanan Persekutuan SPRM pada 23 Mei tahun ini.

“Setelah meneliti semua keterangan, pendakwa raya telah memutuskan pada 20 Jun tahun ini bahawa tiada pendakwaan diteruskan atau ‘No Futher Action’ (NFA) kerana bukti yang diperoleh tidak mencukupi bagi tindakan selanjutnya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Jamilah Sulaiman yang ingin tahu perkembangan terbaharu kes rasuah melibatkan Mohd Shafie.

Liew berkata siasatan berhubung dana kerajaan berjumlah RM1.5 bilion yang dijalankan ke atas Anggota Parlimen Semporna itu dijalankan secara telus dan tiada layanan istimewa diberikan kepada Mohd Shafie ketika siasatan dijalankan.

“Shafie ditahan SPRM pada 19 Okt tahun lalu. Siasatan awal dijalankan melalui temu bual di pejabat SPRM Kota Kinabalu dan pada masa sama saya difahamkan SPRM telah ke rumah Shafie dan memeriksa akaun beliau, tidak ada duit yang dijumpai seperti yang didakwa… apa yang penting, SPRM telah mengesahkan tiada bukti terhadap kes Shafie,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff sama ada layanan istimewa diberikan kepada individu tertentu berhubung siasatan kes ugutan jenayah terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Liew berkata siasatan terhadap kes tersebut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Undang-undang di negara ini adalah saksama kepada semua rakyat. Tidak ada ‘special treatment’ diberikan kepada sesiapa pun.

“Mengenai kes ugutan yang melibatkan bekas Ketua Menteri Sabah (Tan Sri Musa Aman), kita dapati ketika laporan dibuat oleh Yang Dipertua, beliau (Musa) telah meninggalkan negara dan kemudiannya kita dimaklumkan peguamnya beliau berada dalam keadaan tidak sihat dan diberikan keutamaan untuk mendapatkan rawatan perubatan… pada masa ini kita masih belum pasti sama ada perubatan itu sah atau tidak kerana doktor belum mengesahkannya,” katanya. – BERNAMA

*Sekadar Video Hiasan..