Selesai Isu Kuil Pertahan Prinsip Undang-Undang

SHAH ALAM – Mana-mana pihak boleh mengemukakan cadangan masing-masing bagi menyelesaikan isu perpindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya dekat sini, namun penyelesaian itu harus bersifat mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata sebagai ‘orang tengah’, kerajaan negeri akan mencari penyelesaian terbaik terhadap isu tersebut dan memastikan semua pihak terlibat berpuas hati dengan keputusan yang bakal dicapai minggu depan.

“Saya harap pihak terlibat bersabar kerana saya nampak semakin jelas (penyelesaiannya) selepas beberapa diskusi (dengan pihak terlibat) hari ini dan semalam.

“Seperti saya sebut, ia (penyelesaian) harus mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan jika semua pihak bersetuju, mereka harus melalui beberapa proses perundangan. Kepentingan kerajaan negeri (sebagai orang tengah) hanyalah memastikan soal keamanan dan kestabilan rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Isu perpindahan kuil berkenaan mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat itu pada pagi Isnin dan Selasa lepas menyaksikan antara lain kenderaan serta bangunan dirosakkan dan seorang anggota bomba cedera parah akibat diserang perusuh.

Ekoran kejadian itu, pada Ahad lepas, ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dilapor telah mengumpul dana berjumlah RM2 juta menerusi kempen kutipan derma yang dimulakannya bagi membeli tanah yang menempatkan kuil tersebut dan yakin pemilik tanah itu akan memberi kerjasama penuh terhadap usahanya itu.

One City Development Sdn Bhd (One City) adalah pemilik tanah kuil berkenaan.

Polis setakat ini telah menahan 83 individu untuk membantu siasatan kes kekecohan di kuil itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini dipetik sebagai berkata semua yang ditahan setakat ini adalah warga tempatan dan masih ada ramai lagi yang diburu. – BERNAMA

Loading...