Penyakit Jantung Kekal Punca Utama Kematian Di Malaysia

PUTRAJAYA – Sebanyak 172,031 kematian direkodkan pada 2018, dengan sejumlah 117,387 daripadanya adalah sebab kematian yang disahkan secara perubatan, manakala 54,644 adalah tidak disahkan secara perubatan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata, penyakit jantung iskemik atau Ischaemic heart diseases kekal sebagai sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,267 kematian atau 15.6 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada 2018.

Berdasarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian, Malaysia, 2019 yang dikeluarkan hari ini, kematian disebabkan penyakit jantung iskemik meningkat 35.3 peratus berbanding 13,503 kematian pada 2017.

Sementara itu, pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 11.8 peratus diikuti penyakit serebrovaskular atau Cerebrovascular diseases (7.8 peratus), kemalangan kenderaan (3.7 peratus) dan Chronic lower respiratory diseases (2.6 peratus).

“Sebab kematian utama bagi lelaki adalah penyakit jantung iskemik dengan 12,510 kematian atau 17.8 peratus daripada jumlah kematian lelaki pada 2018, manakala sebab kematian utama bagi perempuan adalah pneumonia dengan 6,033 kematian (12.8 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata penyakit jantung iskemik adalah sebab kematian utama di 90 daerah pentadbiran dan peratusan tertinggi dicatatkan di daerah Petaling, Selangor iaitu 16.3 peratus.

Pneumonia pula sebab kematian utama di 48 daerah pentadbiran dengan peratusan tertinggi dicatatkan oleh Kota Setar, Kedah iaitu 17.8 peratus, katanya.

Loading...