Penutupan IPG Tak Benar, Ia Dasar Kerajaan Lama – Maszlee

ALOR GAJAH – Cadangan penutupan 21 daripada 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara pada tahun depan adalah dasar kerajaan terdahulu, kata Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Sehubungan itu, beliau menafikan sebarang penutupan IPG seperti didakwa dilakukan secara berperingkat mulai tahun depan.

Maszlee juga mahu sebarang kenyataan berkaitan status IPG seharusnya merujuk kepada kementerian terlebih dulu.

“Itu tidak benar (penutupan IPG), ia adalah keputusan kerajaan lama. Kita minta pihak yang mengeluarkan berita supaya merujuk kepada kita dulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Kenyataan itu tidak benar kerana ia merujuk dasar kerajaan lama,” katanya pada sidang media sempena Lawatan Kerja Menteri Pendidikan ke Parlimen Masjid Tanah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai status terbaru IPG, Maszlee sekadar berkata ringkas yang berita itu tidak benar.

“Jadi, kita minta pihak media jika ingin mengeluarkan apa-apa berita berkaitan dasar kerajaan lama, perlu rujuk kepada kami dulu supaya dapat maklumat lebih tepat,” katanya.

Maszlee berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan BH hari ini mengenai 21 daripada 27 IPG di seluruh negara dicadang ditutup secara berperingkat mulai tahun depan.

Serentak itu, tahun ini difahamkan menjadi tahun terakhir pengambilan penuntut oleh 21 institut terbabit.

Laporan berita itu menyebut, selepas ini hanya enam kampus IPG dikatakan terus beroperasi dengan tanggungjawab lebih besar bagi melatih bakal guru diberikan kepada universiti awam (UA). – BH Online