Penunggang Motosikal Maut Selepas Potong Treler

JITRA – Seorang penunggang motosikal maut, manakala pemboncengnya parah selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh sebuah kereta di Jalan Ayer Hitam, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 4.45 petang itu, mangsa, Mohd Beny Mustafa, 46, berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialaminya.

Rakannya, Shahril Nizam Iskandar Shah Samy, 26, berasal dari Kampung Pokok Sena, Mukim Pulai Baling yang mengalami kecederaan parah dilaporkan masih kritikal dan masih dirawat di Hospital Jitra.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu kereta Perodua Viva berusia 56 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Arau, Perlis.

Motosikal yang dinaiki mangsa dan pemboncengnya yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Ayer Hitam, petang semalam. – Foto ihsan Pembaca
“Sebaik tiba berhampiran Balai Polis Ayer Hitam, sebuah motosikal jenis Yamaha yang ditunggang mangsa datang dari arah bertentangan selepas memotong treler di kawasan itu.

“Cermin sisi kiri motosikal itu dipercayai terkena treler menyebabkan penunggangnya gagal mengawal motosikalnya dan masuk ke laluan bertentangan menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, akibat perlanggaran itu, Perodua Viva itu remuk teruk di bahagian hadapan dan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – BH ONLINE

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...