Penunggang Motosikal Maut Diseret 10 Meter

GOMBAK – Seorang penunggang motosikal maut selepas diseret hampir 10 meter dalam kemalangan di KM5 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) arah Sentul menghala susur ke Greenwood Park, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, Mohammad Khairul Anuar Ismail, 33 yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 maut di lokasi kejadian selepas parah pada anggota badan.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kemalangan dipercayai melibatkan sebuah motosikal dengan sebuah kenderaan berat dan motosikal mangsa bergesel dengan kenderaan itu.

“Insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh dari motosikalnya. Selepas terjatuh mangsa bersama motosikalnya diseret sejauh sepuluh meter.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan usaha mengesan kenderaan terlibat atau saksi kejadian diteruskan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zharif Zakaria di talian 013-2969222 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...