Penunggang Motosikal Maut Digilis

SUNGAI PETANI – Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh lori yang mengalami kerosakan di Kilometer (KM) 11 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.50 malam itu, mangsa, Nur Faiz Nafis Mohmad Noor, 23, yang berasal dari Taman Ria di sini, dipercayai gagal melihat lori yang berhenti di laluan kecemasan akibat masalah radiator.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata akibatnya mangsa melanggar bahagian sisi kanan belakang lori itu sebelum tercampak ke tengah lebuh raya.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari Butterworth gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh ke tengah lebuh raya dan digilis kenderaan lain.

“Mangsa meninggal dunia serta merta akibat cedera parah pada bahagian perut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adzli berkata, kemalangan berlaku di kawasan gelap dan tidak berlampu dan mangsa dikatakan menggunakan topi keledar dengan penutup muka gelap.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH ONLINE

*Sekadar Video Hiasan..

Loading...