Hukuman ‘Avatar’ Jika Tak Bayar Tambang Teksi

Moscow – Seorang remaja lelaki diwarnakan biru oleh pemandu teksi di Novokuznetsk, Russia sebagai hukuman kerana cuba lari daripada membayar tambang teksi.

Hukuman yang digelar ‘Avatar’ sempena judul filem popular Hollywood, dilapor kerap dilaksanakan pemandu teksi di sana ke atas penumpang yang tidak membayar tambang.

Remaja berusia 15 tahun itu menerima hukuman tersebut selepas dia berjaya dijejaki pemandu teksi yang mahu menuntut bayaran tambang yang dihutangnya.

Remaja berkenaan yang dipercayai penagih dadah, menggunakan khidmat teksi yang menelan belanja £32 (RM189) apabila meminta dibawa sekeliling bandar, kononnya mahu memburu pengedar dadah.

Dia bagaimanapun melarikan diri tanpa membuat bayaran, menyebabkan pemandu yang marah menjejakinya sampai ke rumah.

Apabila menemui ibu bapanya, pemandu teksi berkenaan memberi mereka kata dua – sama ada membayar tambang atau dia akan membuat laporan polis.

Ibu bapanya bagaimanapun enggan membayar, menyebabkan pemandu itu membawa remaja berkenaan ke kawasan hutan berhampiran, memaksanya membuka baju sebelum melumur pewarna biru pada muka, kepala, dada dan lengannya.

Difahamkan hukuman dikenali sebagai ‘Avatar’ itu juga merupakan amaran daripada pemandu teksi lain terhadap penumpang yang tidak membayar tambang. – AP/BH ONLINE

Loading...