Penulis Turki Tak Dimaklum Tauliah Ajar Agama

KUALA LUMPUR – Penulis dan wartawan warga Turki, Mustafa Akyol ditahan oleh Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 September lalu kerana beliau tidak mematuhi surat perintah hadir yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kepadanya kerana disyaki melakukan kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.

Pengarah Jawi, Abdul Aziz Jusoh berkata, Jawi telah menyampaikan surat perintah hadir kepada Mustafa pada 24 September lalu bagi membantu siasatan penglibatan beliau dalam majlis perbincangan berbentuk meja bulat bertajuk “Does Freedom of Conscience Opean The Floodtafe to Apostasy?” yang dianjurkan oleh Islamic Renaissance Front (IRF) di Royal Selangor Golf Club seperti yang diadukan oleh orang awam.

“Oleh kerana kegagalan beliau hadir memberikan keterangan pada tarikh dikehendaki, maka Jawi telah memohon kepada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk mengeluarkan waran tangkap keatasnya dibawah Seksyen 52(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 bagi melengkapkan siasatan atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah

“Mustafa ditahan di KLIAS pada 25 September 2017 oleh Polis Diraja Malaysia dan dibawa ke Jawi untuk dirakam keterangan. Beliau telah dibebaskan pada 26 September pada pukul 12 tengah hari setelah pengkuatkuasa Jawi berpuas hati pihak penganjur tidak memaklumkan kepadanya keperluan mendapatkan tauliah daripada pihak bekuasa agama bagi mengajar mengenai Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jabatan Imigresen hari ini mengesahkan menahan dan menyerahkan penulis dan wartawan warga Turki, Mustafa Akyol kepada pegawai kawalan perjalanan (TCO) KLIA pada pukul 9.30 malam tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali dipetik berkata, penahanan Akyol dilakukan selepas menerima permohonan ‘kesan dan tahan’ daripada TCO.

Akyol sepatutnya menaiki pesawat ke Rom melalui Istanbul menggunakan penerbangan Turkish Airlines di KLIA pada jam 11.35 malam semalam.

Ini adalah lawatan kali kelima ke Malaysia bagi penulis yang menjadi pengkritik Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan dikenali kerana lantang mengkritik penyokong Islamisme dan sekularisme di negara asalnya.

Justeru, Abdul Aziz mengingatkan mana-mana pihak yang mahu menganjurkan program pengajaran agama supaya memastikan penceramah yang diundang mempunyai tauliah untuk mengajar seperti dikehendaki undang-undang Malaysia. – MYNEWSHUB.CC