Penularan COVID-19 Di KL, Selangor Naik 200% Dalam 72 Jam

KUALA LUMPUR – Penularan wabak COVID-19 dilihat semakin membimbangkan, apabila mencatatkan pertambahan kes hampir dua kali ganda hanya dalam tempoh tiga hari, khususnya di Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Kedua-dua negeri berkenaan setakat ini kekal dengan bacaan kes tertinggi, masing-masing merekodkan lima daerah yang memiliki lebih daripada 10 jangkitan.

Mendahului senarai ialah kawasan Lembah Pantai dengan 167 kes setakat jam 12 tengahari semalam, iaitu pertambahan sebanyak 77 kes, berbanding 90 yang dicatatkan pada 21 Mac lalu.

Daerah Petaling di Selangor merekodkan 158 kes, iaitu peningkatan sebanyak 62 kes berbanding 96 kes yang dicatatkan pada 21 Mac.

Secara kumulatif, Selangor mencatatkan jumlah keseluruhan 356 kes semalam, bagi kelima-lima daerah yang merekodkan bacaan tertinggi iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang dan Kuala Selangor, manakala Kuala Lumpur memiliki jumlah terkumpul 266 kes menerusi lima kawasan panas, masing-masing terdiri daripada Lembah Pantai, Titiwangsa, Kepong, Cheras dan Putrajaya. – BH Online

Loading...