Penubuhan IPCMC Dibentuk Hujung Tahun Ini

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang baru-baru ini memperoleh persetujuan penubuhannya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dijangka dibentuk hujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, ke arah itu Rang Undang- Undang IPCMC akan dibentang pada sesi Parlimen berikutnya.

“Penggubalan Rang Undang-undang IPCMC yang saya kira sudah dimulakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) akan dapat diselesaikan dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama.

“Ada beberapa sesi Parlimen yang akan kita hadapi sebelum akhir tahun ini untuk membolehkan rang undang-undang ini dibentang dan diluluskan Parlimen.

“Oleh itu IPCMC dijangka dan diharapkan boleh dibentuk sebelum akhir tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan surat pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara baharu di sini, hari ini.

Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebelum ini berkata, penubuhan IPCMC akan diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada PDRM menerusi satu sesi perbincangan dengan 20 wakil pasukan itu yang diketuai Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Perdana Putra di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, apa yang menjadi kebimbangan PDRM berkenaan IPCMC sudah dijawab dalam pertemuan bersama GIACC berkenaan termasuk soal kuasa polis, hak merayu dan soal berkaitan disiplin.

“Semua sudah dijelaskan dan PDRM berpuas hati dengan penjelasan diberi GIACC.

“Ini termasuk juga soal orang luar (yang tiada latar belakang kepolisan) memimpin IPCMC, ini juga antara perkara yang menjadi kebimbangan PDRM, apa pun kita akan tentukan selepas ini,” katanya.

Ditanya cadangan pihak tertentu agar kerajaan menyiarkan dapatan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang berada di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), Muhyiddin memberitahu, tiada permintaan formal diperoleh pihaknya lagi dan menyifatkan cadangan berkenaan sebagai pandangan segelintir pihak sahaja.

“Apa perlu membangkitkan cerita lama? Itu satu pengajaran. Yang penting adalah pada waktu ini dan masa depan. Inilah yang Pakatan Harapan sebagai kerajaan janjikan iaitu untuk berlaku adil dan saksama.

“Kita tidak mahu negara kucar-kacir kerana perkauman dan agama. Sedikit sebanyak pengalaman lampau itu harus menjadi batasan dan tidak berulang,” katanya.

Berhubung laporan mengenai sindiket tonto dikesan bertindak berani memasang alat sistem pengesanan global (GPS) pada kenderaan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Muhyiddin berkata, pihak polis perlu mengambil tindakan jika perkara seumpama itu mengganggu tugas-tugas penguatkuasaan.

Beliau memberitahu, pihak-pihak terbabit tidak mempunyai hak untuk memasang alat sedemikian.

“Ini bukan perkara baharu. Dahulu ketika saya di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pun golongan tonto ini berada di mana-mana mungkin dengan niat untuk mengawal orang mereka.

“Tetapi ini untuk persempadanan melibatkan Aksem bagi mengawal agar tiada pencerobohan dan perkara melibatkan penyeludupan. Jadi yang penting jangan ganggu tugas-tugas menjaga persempadanan,” katanya.

Loading...