Pentadbiran Negara Dikuasai DAP Hanya Naratif PAS

KLANG – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan dakwaan mengatakan pentadbiran negara dikuasai DAP hanyalah naratif dibuat oleh PAS yang sengaja mahu menimbulkan isu perkauman dan ekstremisme agama.

Beliau berkata, dakwaan PAS itu juga ibarat sengaja mahu menimbulkan kebencian rakyat terhadap golongan bukan Islam dan bukan Melayu di negara ini.

Katanya, dakwaan PAS mengatakan negara dikuasai pemimpin bukan Islam dilihat ‘menyimpang’ daripada hakikat sebenar sedangkan pemimpin tertinggi negara dan semua pasukan keselamatan diketuai oleh orang Islam.

“Saya kesal mereka (PAS) semata-mata nak selamatkan masa depan politik mereka dengan menimbulkan perasaan benci kepada orang bukan Islam sehingga mengatakan orang bukan Melayu tak boleh jadi menteri.

“Ia menyimpang daripada Perlembagaan Persekutuan. Kenapa nak salahkan orang bukan Islam dan orang bukan Melayu atas kegagalan PAS?” katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan Chap Goh Mei anjuran Persatuan Hokkien Klang, di sini malam ini. – BERNAMA

Loading...