Pensyarah Diugut Selepas Artikelnya Dikritik Kadir Jasin

KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi mendakwa telah diugut pihak tertentu selepas Penasihat Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin menuduh beliau menabur fitnah dan menyebarkan kepalsuan melalui artikel yang ditulisnya yang bertajuk 400 Hari Pakatan Jual Lebih RM20 Bilion Aset Negara.

Menurut Pensyarah Sains Politik itu, seorang Penasihat Media Perdana Menteri tidak seharusnya ‘mengarahkan’ pihak UKM dan Kementerian Pendidikan untuk memantau kualiti penghujahan dan kecenderungan ideologi kakitangan akademik mereka di media-media sosial.

Tindakan tersebut menurut beliau bukan sahaja kurang profesional dan tidak matang tetapi turut bertentangan dengan prinsip kebebasan akademik yang dilaungkan pihak kerajaan selama ini.

Jelas Abdul Muein, beliau tidak menabur fitnah mahu pun menyebarkan kepalsuan menerusi artikel tersebut kerana semua fakta yang dikemukakan adalah berdasarkan laporan-laporan media portal-portal utama seperti The Edge Markets, Reuters, Astro Awani, Deal Street Asia, The Malaysian Reserve dan pelbagai portal berita arus perdana tempatan yang lain.

“Adakah tuan Penasihat Media Perdana Menteri menuduh kesemua portal ini ‘menabur fitnah dan menyebarkan kepalsuan’?

“Jika ya, maka silalah ambil tindakan ke atas kesemua portal ini.

“Seharusnya sebagai seorang Penasihat Media Perdana Menteri yang dihormati ramai, beliau perlu menjawab kesemua persoalan yang diajukan pensyarah universiti awam dengan matang dan profesional, bukannya bertindak mengeluarkan kenyataan di media sosial.

“Semoga tindakan Penasihat Media Perdana Menteri yang dihormati ini tidak diulangi lagi pada masa akan datang, sekali gus tidak menghalang para pensyarah lain untuk terus terlibat memberi pandangan kritis kepada dasar-dasar kerajaan demi kemajuan negara kita bersama.

“Secara peribadi saya tiada dendam apatah lagi benci sama sekali terhadap Penasihat Media Perdana Menteri kita ini dan saya maafkan tuduhan beliau bahawa saya ‘menabur fitnah dan menyebarkan kepalsuan’.

“Namun, sebagai Pensyarah di UKM saya tetap berpegang teguh dengan Falsafah UKM iaitu paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan universiti,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau turut menyenaraikan sebanyak 14 link portal yang menjadi rujukan beliau semasa menulis artikel mengenai penjualan aset oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan termasuk kenyataan Perdana Menteri sendiri yang mengakui kerajaan berhasrat untuk menjual aset negara bagi membayar hutang.

“Demi Allah, saya dengan ini menjemput anda semua menyemak sendiri kesemua fakta dan laporan yang telah saya gunakan sebagai rujukan untuk artikel saya tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Loading...