Penoreh Didakwa Edar Lebih 1 Kg Kanabis

JITRA – Seorang penoreh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengedar 1,038.48 gram dadah jenis kanabis di Kuala Nerang dekat sini, kira-kira dua minggu lepas.

Tertuduh, Abdul Ghani Md Khamis @ Md Ali, 43, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Paya Terap di Kuala Nerang dekat sini pada 2.30 petang, 29 Okt lepas.

Lelaki yang tinggal bersama isteri serta tiga anaknya dalam kawasan kebun getah itu, bagaimana pun hanya mengangguk tanda faham setelah jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun.

Kes didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan rotan maksimum 15 sebatan.

Dalam tuduhan berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan memiliki dadah jenis kanabis seberat 20.56 gram pada waktu, hari dan di tempat yang sama.

Bagi tuduhan itu Abdul Ghani didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dipenjara maksimum dua tahun dan disebat minimum tiga kali dan maksimum sembilan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam G.Shanmugam.

Majistret menetapkan 22 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

Loading...