Penjual Santan Didakwa Sebar Berita Palsu Koronavirus

KUALA TERENGGANU –┬áSeorang penjual santan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membuat kenyataan mengenai isu jangkitan novel koronavirus 2019, yang mungkin menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Marzuki Abdullah, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, Marzuki didakwa membuat kenyataan mengenai koronovirus yang melibatkan kemasukan pesakit ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dengan niat atau mungkin menyebabkan ketakutan kepada golongan awam. (Pertuduhan itu tidak menyatakan saluran kenyataan itu dikeluarkan)

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini, pada 8.22 pagi, 27 Januari.

Tertuduh yang kelihatan tenang dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan, didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Nur Nabihah Hanin Ayim menawarkan jaminan RM10,000 bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Hafizuddin Abdul Hariz merayu jaminan yang rendah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mac sebutan semula kes.

Loading...