Penjara 20 Tahun, Denda RM150,000 Menanti Pemandu Mabuk

KUALA LUMPUR – Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 untuk kesalahan memandu dalam keadaan mabuk bakal menyaksikan peningkatan kadar hukuman penjara maksimum dinaikkan dari 15 tahun kepada 20 tahun dan denda maksimum daripada RM6,000 kepada RM150,000.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan akta berkenaan juga bakal menyaksikan bentuk hukuman diberikan kepada pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan maut dengan hukuman kepada pemandu mabuk yang mengakibatkan kemalangan sahaja akan dibezakan.

“Ini membuktikan kerajaan serius. Kalau sudah ambil alkohol, jangan memandu. Kita bukan ambil hak orang lain minum minuman keras, tetapi kita tidak mahu mereka mendatangkan kemudaratan kepada rakyat jelata,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Shahidan terdahulu meminta kerajaan memberikan gambaran awal bentuk hukuman lebih berat dijangka dikenakan terhadap pemandu mabuk bagi kefahaman awal rakyat negara ini susulan pindaan Akta 333 dilaksanakan kelak.

Dalam perkembangan lain, Ka Siong turut menegaskan Kabinet bersetuju meluluskan rangka cadangan memperluaskan bidang penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tidak terhad kepada polis semata-mata.

Menjawab soalan tambahan Anthony Loke Siew Fong (DAP-Seremban), susulan jumlah kematian diakibatkan pemandu mabuk dicatatkan sebanyak 12 kes sepanjang tahun ini, kerajaan melihat keperluan untuk bidang menguatkuasaan undang-undang menangkap pemandu mabuk turut diperluaskan kepada JPJ.

“Kita lihat polis menjalankan tugas dengan baik, mengapa tidak kita meluaskan pelaksanaan bidang penguatkuasaan terhadap pemandu mabuk kepada JPJ?

“Oleh itu, Kabinet bersetuju meluluskan bab menangkap pemandu mabuk diperluaskan penguatkuasaan kepada JPJ, berbanding sebelum ini hanya didiberikan kepada polis sahaja,” katanya. – Sinar Harian

Loading...