Penjaja & Peniaga Kecil Mampu Kurangkan Kos Pengurusan Sampah

KUALA LUMPUR – Pihak penjaja dan peniaga kecil mampu mengurangkan kos pengurusan sampah yang mencecah jutaan ringgit setiap tahun seandainya sisa tersebut diuruskan dengan betul dan sistematik, kata seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL Jabarilah Jaafar berkata, walaupun nampak kecil, impak daripada kesedaran penjaja dan peniaga kecil terutama di tengah ibu kota bukan saja mengurangkan kos pengurusan sampah tetapi mampu mengatasi dua masalah utama lain iaitu banjir kilat dan longgokan sampah.

“Kebersihan ini bermula daripada penjaja memandangkan mereka ini adalah sumber awal wujudnya sampah.

“Jika 214 peniaga dan penjaja di sini bekerjasama dan tahu peranan mereka dalam menguruskan sampah terutama sisa makanan dan minyak, sudah tentu pihak DBKL dan Alam Flora dapat menjimatkan jutaan ringgit setahun bagi kos penyelengaraan sampah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong Royong Perdana di Jalan Haji Taib di sini hari ini.

Seramai 200 peniaga dan penjaja menyertai program membersihkan sekitar kawasan penjaja dan peniaga kecil di Jalan Haji Taib anjuran bersama Alam Flora, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan dan Persatuan Penjaja Kawasan Tiong Nam, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata, sikap membazirkan makanan juga perlu dikikis dalam usaha mengatasi sisa sampah yang berpunca daripada makanan.

“Mungkin kita perlu guna pakai beberapa kaedah seperti yang dilakukan di luar negara seperti mengenakan caj kepada lebihan makanan yang tidak dihabiskan. Ini mungkin cara terbaik mendidik pelanggan agar tidak membazir dan sekali gus mengurangkan sisa sampah daripada punca makanan,” katanya. – BERNAMA

Loading...