Penjaga Premis Didakwa Urus Rumah Persundalan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan membantu menguruskan rumah persundalan dan membenarkan tiga wanita warga Vietnam tinggal di premis tersebut, minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, Siew Fook Chong, 39, didakwa membantu mengurus rumah persundalan di Jalan 27/70a, Desa Sri Hartamas di sini pada pukul 11.30 malam, 11 September lalu.

Penjaga premis itu didakwa mengikut Seksyen 373(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Fook Chong didakwa membenarkan tiga wanita warga Vietnam berusia antara 23 dan 27 tahun untuk tinggal dalam premis tersebut di tempat, masa dan tarikh sama.

Bapa anak tiga itu didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin tidak mencadangkan sebarang ikat jamin, bagaimanapun peguam Derren Kuan yang mewakili Fook Chong memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan alasan dia merupakan penanggung utama keluarga.

Hakim Mahyon Talib membenar tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang Penjamin berserta syarat tambahan iaitu lapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain menetapkan 15 Oktober ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE