Peniaga Tidak Tahu Kewajipan Tag Harga Merah Jambu

IPOH – Terdapat segelintir peniaga kecil yang masih tidak tahu mengenai kewajipan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu setiap kali penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dilaksanakan.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak Shamsul Nizam Khalil berkata peniaga terbabit memberikan alasan tidak mengetahui bahawa skim kawalan harga itu dikuatkuasakan di semua premis perniagaan.

“Skim kawalan harga ini bukan hanya dilaksanakan di pasar awam atau pasar raya besar sahaja tetapi dikuatkuasakan di semua premis termasuk kedai runcit dan pasar malam.

“Mana-mana peniaga yang menjual barangan kawalan wajib meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi mengelakkan sebarang tindakan selain mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 di sebuah pasar raya besar di sini, hari ini.

Sebanyak 16 jenis barangan kawalan disenaraikan dalam skim kawalan harga itu yang bermula hari ini hingga 9 Nov antaranya ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan dan import bertulang, daging biri-biri import bertulang, telur ayam, tomato, kelapa biji dan parut, bawang besar, ubi kentang dan kacang dal.

Shamsul Nizam berkata individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala bagi syarikat, didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun hingga RM10,000.

Katanya skim kawalan harga dilaksanakan supaya pengguna dapat memperoleh barangan keperluan musim perayaan pada harga yang berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau.

Dalam pada itu, Shamsul Nizam berkata sebagai usaha untuk melindungi pengguna, pihaknya turut meningkatkan keberadaan pegawai penguat kuasa di tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai menerusi tindakan ‘Omnipresence’ bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat serta beretika. – BERNAMA

Loading...