Peniaga Rugi Lebih RM1.2 Juta, 5 Premis Terbakar

KUALA TERENGGANU – Lima lot premis perniagaan di Jalan Sultan Mohamad berhampiran Gong Kapas di sini musnah dalam kebakaran yang melibatkan kerugian lebih RM1.2 juta malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, premis perniagaan yang terlibat dalam kebakaran berkenaan ialah tiga lot kedai menjual lampu hiasan dan barang elektrik, sebuah kedai menjual aksesori dan alat ganti kenderaan serta sebuah bengkel membaiki motosikal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya dengan kekuatan empat jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 10.37 malam.

“Sewaktu jentera bomba tiba, premis terbabit telah kira-kira 70 peratus terbakar selain berlaku letupan kecil dipercayai berpunca daripada bahan mudah terbakar seperti tin penyembur cat.

“Kebakaran dapat dikawal pada setengah jam kemudian sebelum dipadam sepenuhnya pada pukul 1.30 pagi (semalam),” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Mohamad Shoki berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu berkemungkinan bermula dari bahagian belakang salah sebuah kedai menjual lampu hiasan dan barangan elektrik. 

Loading...