Peniaga Dijel 30 Bulan Rancang Baling Bom Asap

KUALA LUMPUR – Akibat merancang untuk membaling bom asap buatan sendiri di sarang “maknyah” dan merancang serangan di kilang arak serta mesin judi di negeri Melaka ketika ambang Merdeka, seorang peniaga menerima padah apabila dia dipenjara 30 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ekhsan Sulaiman, 24, yang mengaku bersalah atas tuduhan melibatkan diri dalam persediaan untuk melakukan perbuatan pengganas dengan membuat perancangan dan persediaan melakukan serangan di sekitar Jalan Tun Ali, Kampung Bunga Paya Pantai, Melaka.

Bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Jalan Bertam Jaya 12, Taman Bertam Jaya, Melaka antara 12 Ogos dan 25 Ogos lepas mengikut Seksyen 130JD(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Ogos lepas.

Mohd Nazlan ketika membuat keputusan itu berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan sekiranya tidak dibendung boleh terjerumus kepada pembuatan bom yang boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian kepada orang awam.

“Kesalahan ini juga boleh menggugat ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” kata hakim itu yang turut mempertimbangkan faktor umur tertuduh yang masih muda dan pesalah pertama ketika menjatuhkan hukuman.

Mengikut fakta kes, terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa pada pertengahan bulan Ogos lepas, tertuduh telah mewujudkan kumpulan perbualan WhatsApp “Ar-Rayah Member” di mana anggota dalam kumpulan itu membincangkan perancangan untuk melakukan serangan di sekitar Jalan Tun Ali, Kampung Bunga Paya Pantai, Melaka.

Tertuduh, yang ditahan sepasukan pegawai polis pada 25 Ogos lepas, juga mengaku menghasilkan bom asap dengan merujuk sumber YouTube iaitu “how to make a smoke bomb with pingpong ball” (bagaimana membuat bom asap menggunakan bola pingpong) dan membuat dua buah video yang menunjukkan ujian bom asap yang dihasilkannya,

Dia juga mengaku membuat 10 kali ujian bom asap di mana dua daripada ujian itu berjaya serta membuat rakaman dan berkongsi cara membuat bom itu di dalam kumpulan WhatsApp tersebut.

Hasil siasatan juga mendapati tertuduh telah membuat persediaan untuk merancang membaling bom asap di sarang “maknyah” yang menjadi tempat pengunjung melanggan di sekitar Jalan Tun Ali dan merancang melakukan serangan di kilang arak dan mesin judi pada ambang Merdeka.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi memohon hukuman setimpal atas alasan terdapat bukti yang menunjukkan tertuduh merancang melakukan serangan serta membuat rakaman video dan berkongsi cara pembuatan bom asap dihasilkannya.

“Walaupun ia sekadar bom asap dan bukan bom sebenar tetapi ia menunjukkan tertuduh berniat untuk menakutkan orang awam serta menjejaskan ketenteraman orang ramai.

“Sekiranya ia tidak dicegah, dikhuatiri akan berlaku kesalahan yang lebih serius pada masa akan datang,” katanya yang turut memaklumkan terdapat peningkatan kes membabitkan keganasan sejak akhir-akhir ini.

Ketika merayu untuk meringankan hukuman, Muhammad Ekhsan, yang tidak diwakili peguam berkata dia telah insaf dan berjanji tidak akan melakukan kesilapan sama pada masa akan datang. – BERNAMA