Peniaga Didakwa Miliki 18 Ikat Petai Curi

KUALA LUMPUR – Baharu sahaja dibebaskan dari penjara atas kesalahan membeli 18 ikat petai menggunakan wang palsu, seorang peniaga didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki petai itu yang merupakan harta curi.

Toh Kai Thong, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Toh didakwa memiliki harta curi iaitu 18 ikat petai yang bernilai RM800 milik Pandu Insani Yahya, 30, yang telah dilaporkan hilang di Pasar Borong Selayang, Sentul, di sini pada 5.05 pagi, 4 Okt lalu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 3 Jan 2019 untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Akmal Anuar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 31 Okt lalu, Toh dihukum penjara sebulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah membeli 18 ikat petai menggunakan sekeping wang RM100 palsu. – BERNAMA

Loading...