Pengurusan Kes SUV Terhumban Ke Laut 28 Jun

BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 28 Jun ini untuk pengurusan kes seorang bekas pekerja salon yang dituduh menyebabkan kematian seorang pelajar kolej, Moey Yun Peng, 20, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang pada Januari lepas.

Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin yang mendengar pengurusan kes itu menetapkan tarikh tersebut bagi membolehkan peguam tertuduh S. Parameswaran meneliti dua laporan forensik yang baru diterimanya hari ini.

Bekas pekerja salon itu, K. Vaitheswaran, 21, dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 dan hilang kelayakan lesen memandu sehingga tiga tahun, jika disabitkan kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai kira-kira pukul 3 pagi 20 Januari lepas.

Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV jenis Mazda CX-5 itu hilang kawalan dan terjunam ke laut.

Loading...