Pengurus Syarikat Direman Kes Rasuah Kontrak RM60 Juta

PUTRAJAYA – Seorang pengurus syarikat direman empat hari mulai hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah bagi mendapatkan kontrak bernilai RM60 juta di sebuah kementerian.

Perintah reman sehingga 27 Jun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar, Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membuat permohonan berkenaan, pagi tadi.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 43 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 12 tengah malam tadi ketika hadir memberikan keterangan.

“Suspek dipercayai bersekongkol dengan seorang penolong setiausaha bahagian sebuah kementerian yang ditahan semalam bagi memonopoli projek di bawah kementerian terbabit sejak 2018.

“Difahamkan sehingga kini mereka berjaya membolot kira-kira 16 projek di kementerian itu serta sudah membabitkan 11 kali pembayaran rasuah,” katanya hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM menahan seorang penolong setiausaha bahagian kementerian kerana disyaki menerima rasuah dalam pelbagai bentuk yang dianggarkan bernilai RM1 juta.

Penolong setiausaha bahagian berusia 46 tahun itu dilaporkan menerima suapan wang tunai berjumlah kira-kira RM300,000, barang kemas, tanah lot berkeluasan 0.8 hektar rumah kedai dua tingkat dan sebuah motosikal.

Kesemua habuan itu dipercayai diterima sebagai balasan membantu 11 syarikat mendapatkan projek bekalan am, perkhidmatan dan pengangkutan di kementerian terbabit. – BH Online