Pengurangan Kadar Tol PLUS Bermula Tengah Malam Ini

109

PUTRAJAYA – Pengurangan kadar tol Lebuhraya Plus Malaysia Bhd. (PLUS) sebanyak 18 peratus akan berkuat kuasa bermula jam 12 tengah malam ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan berkata, perkara tersebut selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri pada 17 Januari lalu.

“Diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus tersebut diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi di Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Seremban–Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Butterworth–Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

“Kadar tol untuk kenderaan komersial akan terus kekal pada kadar tol semasa tanpa peningkatan sehingga tamat tempoh konsesi. Ini berikutan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri untuk menstrukturkan semula konsesi PLUS bagi memberikan penjimatan sebanyak RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi baharu sehingga 2058,” katanya hari ini.

Katanya, bagi 2020, kerajaan dan pengguna juga akan mendapat penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung hasil daripada penstrukturan semula konsesi PLUS.

“Ia termasuklah penjimatan sebanyak RM0.5 bilion daripada diskaun 18 peratus dan juga penjimatan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.


“Penjimatan ini akan dapat disalurkan untuk program-program kebajikan dan pembangunan ekonomi yang akan memanfaatkan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2020, kadar tol bagi kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulai Pinang juga akan disamakan dengan kadar tol baharu jambatan pertama selepas diskaun 18 peratus bermula.

“Dengan penurunan kadar tol ini, kerajaan telah mengambil suatu langkah besar ke arah memenuhi janji untuk menghapuskan tol secara berperingkat dengan merunding semula perjanjian konsesi lebuh raya seperti dinyatakan Manifesto Pakatan Harapan,” katanya.