Pengurangan Kadar Tol 18% Seawal 1 Februari

KUALA LUMPUR – Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi pengguna kenderaan persendirian di semua lebuh raya milik PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) akan dilaksanakan seawal 1 Februari ini.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, keputusan berkenaan akan memastikan tiada kenaikan kadar tol sehingga tempoh konsesi tamat selama 38 tahun iaitu dari 2020 hingga 2058.

“Tiada sebarang bayaran akan dibuat oleh kerajaan kepada PLUS sebagai timbal balas berikutan pengurangan kadar tol berkenaan.

“Kerajaan tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS, di mana kerajaan bakal mendapat penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM42 billion sepanjang tempoh konsesi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan, bayaran tol semua lebuh raya milik PLUS diturunkan 18 peratus tahun ini dan kadar itu kekal sehingga tamat tempoh konsesi lanjutan pada 2058.

Dr. Mahathir berkata, langkah itu diambil selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menjual PLUS kepada mana-mana pihak dan mengekalkan pemilikan sahamnya oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Loading...