Pengundi PD Gagal Cabar Peletakan Jawatan Danyal

KUALA LUMPUR – Seorang pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson (PD) hari ini gagal dalam permohonannya untuk mencabar peletakan jawatan Datuk Danyal Balagopal Abdullah sebagai Anggota Parlimen kawasan itu.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan yang menolak permohonan Rosmadi Mohd Kassim selaku pemohon untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman selepas mendengar hujahan peguam yang mewakilinya, Datuk M. Reza Hassan.

Turut berhujah di dalam prosiding itu peguam Ranjit Singh, mewakili Danyal dan Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh bertindak bagi pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden.

Amarjeet ketika ditemui pemberita berkata pihaknya berhujah bahawa melalui surat yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat, responden (Danyal) menyatakan beliau menawarkan kerusi Parlimennya secara sukarela kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga calon PKR bagi kerusi Parlimen PD dan perkara itu juga turut dipersetujui oleh Anwar.

“Sekiranya seseorang itu telah melepaskan jawatannya, dia berhak meletakkan jawatan…dan satu-satunya had di bawah perlembagaan adalah mesti secara sukarela secara bertulis dan dia menandatanganinya. Tiada bukti menunjukkan dia tidak sukarela. Sehubungan itu permohonan berkenaan ditolak,” kata Amarjeet dan menambah mahkamah juga tidak mengeluarkan perintah untuk kos.

Tiada apa-apa yang dapat menghalang seorang senator atau anggota parlimen daripada meletak jawatan,” katanya.

Sementara itu, Ranjit berkata hakim memutuskan bahawa tiada pertikaian kes dalam tuntutan undang-undang Rosmadi.

Katanya beliau turut berhujah bahawa berdasarkan Perkara 51 Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang anggota parlimen atau senator untuk memohon peletakan jawatannya kepada speaker Dewan Negara atau Dewan Rakyat.

Sementara itu, M. Reza berkata beliau akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada ingin merayu terhadap keputusan hari ini.

Dalam permohonan yang difailkan pada 26 Sept lepas, Rosmadi, yang merupakan pengundi yang sah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) pada 9 Mei lepas, di kawasan Parlimen PD memohon perintah untuk membatalkan notis bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu bertarikh 20 Sept lepas yang dikeluarkan SPR.

Pemohon juga memohon satu pengisytiharan bahawa kekosongan kerusi bagi PRK PD oleh SPR adalah tidak sah dan terbatal serta bertentangan dengan undang-undang dan satu perintah injunksi untuk menghalang SPR daripada melaksanakan PRK di kawasan itu yang dijadualkan pada 13 Okt ini sehingga mahkamah memutuskan kes itu.

Rosmadi mendakwa beliau memfailkan permohonan itu atas alasan peletakan jawatan Danyal jelas menunjukkan bahawa beliau lebih mengutamakan kepentingan Anwar berbanding kepentingan rakyat Malaysia serta pengundi Parlimen PD.

Beliau turut mendakwa peletakan jawatan Danyal jelas menunjukkan bahawa beliau lebih mengutamakan kesetiaan kepada Anwar berbanding kepada kerajaan Malaysia dan peletakan jawatannya adalah bertentangan dengan kehendak pengundi Parlimen PD yang telah memberikan kepercayaan kepadanya pada PRU.

Rosmadi mendakwa Danyal telah menghantar surat peletakan jawatannya pada 12 Sept lepas bertujuan untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di kawasan itu dan tindakan itu bermotifkan politik serta bertentangan dengan polisi awam.

Beliau juga mendakwa tindakan SPR mengisytiharkan kekosongan kerusi Parlimen PD tanpa membuat sebarang siasatan juga merupakan suatu kemungkiran tanggungjawab statutori. – BERNAMA

Loading...