Pengundi Malaysia Tak Setuju UMNO Keluar PN

SHAH ALAM – Kajian Merdeka Center mendapati pengundi di negara ini tidak bersetuju UMNO keluar dari Perikatan Nasional (PN) dan bergerak sendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kajian tersebut dilakukan pada 23 hingga 31 Disember lalu terhadap 1,202 responden membabitkan pengundi berdaftar berusia 21 tahun ke atas di seluruh negara dengan menemuramah melalui panggilan talian tetap dan telefon bimbit.

Responden tersebut terdiri daripada 52 peratus Melayu, 29 peratus Cina, tujuh peratus India dan masing-masing enam peratus Muslim bumiputera serta bukan Muslim bumiputera (dari Sabah dan Sarawak).

Merdeka Center dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, keputusan kajian mendapati 44 peratus pengundi tidak bersetuju UMNO keluar dari PN berbanding 31 peratus yang bersetuju dan selebihnya menyatakan tidak tahu atau enggan komen.

Majoriti yang tidak bersetuju itu adalah dari kalangan pengundi Melayu iaitu sebanyak 62 peratus yang mahu UMNO kekal bekerjasama dengan Parti Bumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS.

“Hanya 21 peratus (pengundi Melayu) yang bersetuju UMNO keluar dari PN.

“Mengenai pilihan politik pengundi, penyokong Pakatan Harapan (PH) majoriti ingin melihat PN berpecah berbanding penyokong BN,” kata Merdeka Center dalam kenyataan tersebut.

Kajian tersebut turut mendapatkan respon mengenai spekulasi PRU15 dalam masa terdekat dan sama ada UMNO perlu bergerak sendirian menghadapi pilihan raya itu.

Menurut Merdeka Center, rata-rata responden memberikan corak pilihan yang tidak jelas dan hanya majoriti kecil iaitu 51 peratus pengundi Melayu tidak bersetuju sekiranya UMNO bergerak sendiri.

“Pada pandangan kami, dominasi PN di kalangan pengundi Melayu akan terjejas sekiranya UMNO memutuskan untuk bergerak sendiri pada pilihan raya akan datang dengan hasil yang tidak pasti.

“Jika ini berlaku, ia mungkin mewujudkan keadaan yang serupa dengan PRU14 di mana pengundi Melayu berpecah tiga dalam pertandingan beberapa penjuru,” kata Merdeka Center. – Sinar Harian