Penguatkuasaan Undi 18 Tahun Selewat-Lewatnya Julai 2021

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata selepas dikuatkuasakan pada tarikh ditetapkan kelak, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib memastikan setiap warganegara yang mencapai usia 18 tahun dan tidak hilang kelayakan didaftarkan sebagai pemilih dan layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

SPR menjangkakan semua persediaan berkaitan dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira 18 hingga 24 bulan daripada kelulusan pindaan Perkara 119 (4) Perlembagaan Persekutuan itu pada 25 Julai lalu.

“SPR sedang dalam persiapan untuk melaksanakan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

“Ini termasuk penyediaan pindaan kepada Peraturan Pilihan Raya Pendaftaran Pemilih 2002, undang-undang lain yang berkaitan dan prosedur operasi standard (SOP) serta sistem dan infrastruktur bagi pelaksanaan itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang bertanya bilakah sistem pendaftaran automatik pengundi berusia 18 tahun akan dilaksanakan dan jaminan mereka yang berdaftar sekarang akan dimasukkan dalam Daftar Pemilih Induk yang layak mengundi pada PRU-15.

Vui Keong memaklumkan, SPR sedang bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara, Pendaftar Mahkamah dan agensi berkaitan untuk membekalkan maklumat mengenai warganegara yang mencapai usia 18 tahun dan hilang kelayakan sebagai pemilih berdasarkan Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“SPR juga sedang menjalankan program pendidikan pengundi, promosi dan publisiti untuk memberi kefahaman mengenai kedua-dua pindaan itu,” katanya.

Pada 25 Julai lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas diluluskan di Dewan Rakyat.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan akan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. – BH Online

Loading...