Penglibatan Wanita Meningkat Dalam Militan Daesh

PENDANG – Penglibatan golongan wanita sebagai penyerang di dalam kumpulan militan Daesh menjadi trend terbaharu di rantau Asia Tenggara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8), Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penglibatan wanita sebagai penyerang bunuh diri kian meningkat.

Menurutnya, jika dilihat ancaman Daesh ini mungkin berkurangan tetapi daripada segi impak masih lagi besar kerana mereka mempunyai kepakaran untuk menghasilkan bahan letupan.

“Lebih membimbangkan golongan ini mempunyai satu semangat baharu untuk melancarkan serangan.

“Dua tiga hari lepas ada insiden di mana seorang anggota IS Indonesia di Surabaya membawa sebilah pisau masuk ke balai polis kononnya mahu membuat laporan.

“Namun individu berkenaan bertindak mencederakan pihak polis dan ini membuktikan keberanian mereka melakukan serangan sebegitu,” katanya ketika sidang media selepas Seminar Kesedaran Keselamatan Menangani Ancaman Daesh, IS dan ajaran sesat di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang hari ini.

Menurut Ayob, paling membimbangkan adalah kerjasama antara elemen IS Malaysia dengan Indonesia dan juga Selatan Filipina.

“Tangkapan yang kita buat di Keningau bulan Mei lepas melibatkan dua anggota IS Indonesia, mereka bekerja di Keningau dan menjadi fasilitator kepada anggota Daesh sebelum berlepas melancarkan serangan di selatan Filipina,” katanya.

Tambah Ayob, pada tahun ini lebih 30 orang berjaya ditahan dan ada dalam kalangan mereka adalah wanita.

“Pihak kita tidak akan membiarkan mereka melakukan sebarang serangan, jika ada maklumat dan bukti kita akan tangkap mereka,” tegasnya.

Loading...