Pengikut Zizan Razak Kini 6 Juta

KUALA LUMPUR – Selepas Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Neelofa, pelakon, pengacara dan pelawak, Zizan Razak pula mencatat jumlah angka enam juta pengikut di laman sosial, Instagram.

Zizan berada pada kedudukan ketiga sebagai selebriti tempatan mempunyai jumlah pengikut tertinggi, mengekori Siti Nurhaliza dengan 6.3 juta pengikut, diikuti Neelofa sebanyak 6.2 juta.

Anak kelahiran Terengganu itu berkata, kepercayaan dan sokongan peminat membuatkan dia lebih bersemangat untuk berkarya selari dengan perkembangan arus teknologi.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua yang menyokong dan membantu hingga mengumpul enam juta pengikut. Saya bangga dengan pencapaian ini.

“Berita gembira ini membuatkan saya semakin bersemangat merencana kerjaya seni dan memberikan yang lebih bagus. Selain menghasilkan lebih banyak produk, saya juga ingin memperbaiki kelemahan diri,” kata Zizan dalam satu muat naik video di Instagram.

Berkongsi perkembangan kerjaya, Zizan, 35, kini sibuk menjalani penggambaran filem Abang Long Fadil 3 arahan pengarah muda, Syafiq Yusof.

Selain itu, dia juga bakal menjadi juri program Ceria Megastar Minister 2019 bersama Datuk Aznil Nawawi dan Nabil Ahmad.

Baru-baru ini Zizan berkolaborasi bersama Ismail Izzani menerusi lagu, Berserah.

Loading...