Iktiraf UEC Niat Jahat Hakis Istimewa Melayu?

KUALA LUMPUR – “Saya melihatnya sebagai sebahagian daripada niat jahat beberapa parti politik Cina untuk menekan kerajaan Pakatan Harapan agar menghakis keistimewaan Melayu dan bumiputera secara perlahan-lahan.”

Itu pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam bantahannya keatas pengumuman Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini bahawa kerajaan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, selain merendahkan taraf sekolah aliran kebangsaan, UEC tidak mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan dan melebarkan jurang pemisah kaum di negara ini.

Malah, jelas beliau, UEC hanya pengiktirafan sendiri oleh Pengetua dan Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan tidak sedikit pun termasuk dalam perkara Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Ini kerana kertas peperiksaan disediakan pengelola SJKC dan bukan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan. Hanya ada kertas Bahasa Melayu yang standardnya lebih rendah dari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mata pelajaran lain kesemuanya dalam bahasa Mandarin, model dari Taiwan.

“Saya yakin orang Melayu pada amnya turut menentang pengiktirafan ini kerana ia akan merendahkan martabat sekolah aliran kebangsaan, yang kemudiannya akan menyukarkan lepasan sekolah ini memasuki pasaran pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ismail Sabri berkata, andai pengiktirafan UEC di Malaysia berlaku, ia sekali gus membolehkan pelajar yang mempunyai kelulusan UEC mendapat pekerjaan di jabatan-jabatan kerajaan.

Tegas beliau, situasi itu akan pasti memberi saingan kepada para pemegang sijil SPM yang jelas menepati Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Keistimewaan kepada UEC ini tidak adil kepada pelajar lepasan SPM,” katanya.

Tambah beliau, lebih dibimbangi pengiktirafan UEC akan membuka ruang kepada sijil-sijil lain yang membelakangkan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan akhirnya tiada siapa akan menghormati Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Kata beliau, semua pihak tahu bahawa pengiktirafan UEC ini membelakangkan dasar negara serta meremehkan sekolah aliran kebangsaan.

Justeru, katanya, kerajaan sepatutnya menumpukan kepada usaha ke arah perpaduan nasional dan bukan menjerumuskan rakyat berbilang kaum ke dalam segmentasi pendidikan seperti itu.

Menurut beliau, sistem yang diguna pakai di Taiwan itu sama sekali tidak berada dalam sistem pendidikan negara dan dianggap sebagai tidak selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang antaranya mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

“Dalam hal ini, UEC dikendalikan dalam bahasa lain dan tidak mengikuti silibus Kementerian Pendidikan. Semua sekolah meneĀ­ngah atau sekolah tinggi persendirian Cina di negara ini telah diberi peluang menyertai sistem pendidikan kebangsaan sewaktu kita mencapai kemerdekaan.

“Namun, ada yang menyertainya dan ada yang tidak menyertainya deĀ­ngan menjadi sekolah persendirian Cina yang menawarkan UEC. Penggunaan sepenuhnya Bahasa Mandarin dalam UEC jelas membelakangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk masa depan demi perpaduan dan bangsa Malaysia, satu bahasa mesti menjadi sasaran kerana bahasa menunjukkan bangsa,” katanya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau, UEC adalah ejen pemusnah perpaduan rakyat yang perlu ditentang selagi tidak mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan.

“Ini bukannya soal politik UMNO tetapi kerajaan berjaya menjadikannya modal politik pada pilihan raya umum lalu,” katanya. – Mynewshub.tv

Loading...