Penggiat Seni Boleh Carum KWSP, Perkeso

KUALA LUMPUR – Berita baik buat penggiat seni tanah air apabila mereka akan menikmati caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula Januari 2020.

Pengerusi Perbadanan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac mengumumkan penggiat seni khususnya pelakon, juru mekap dan krew produksi akan menerima manfaat tersebut bergantung pada gaji dan polisi insurans masing-masing.

“Pihak kami telah lima bulan berbincang hal ini dengan semua agensi yang terlibat, ini kerana sememangnya boleh dilaksanakan melalui Akta Finas iaitu Akta 244.

“Caruman akan dibuat oleh majikan iaitu penerbit kepada semua yang terlibat walaupun mereka bekerja dalam tempoh yang singkat,” ketika ditemui pada sesi Dialog Dua Hala Bersama Penggiat Industri Filem, di Finas semalam.

Menurut Hans, mekanisme pembayaran adalah majikan wajib membuat potongan bayaran kepada mereka yang mendapat gaji minimum RM1,100 sebulan.

“Kalau seseorang itu bekerja dalam dua projek untuk sebuah produksi dalam masa yang sama, maka mereka harus dibayar untuk kedua-dua projek tersebut.

“Jika majikan tidak membayar caruman tersebut, maka Sijil Perakauan Penggambaran Filem (SPP) milik mereka akan ditarik,” katanya.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 300 penggiat seni tanah air ini ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Pelancaran pelaksanaan skim caruman KWSP dan Perkeso dijangka akan diadakan pada Oktober depan.

Loading...