Pengganas Christchurch Hadapi 50 Tuduhan Bunuh

CRISTCHURCH – Pengganas yang bertanggungjawab melakukan serangan di masjid Christchurch bulan lalu dihadapkan dengan 50 tuduhan membunuh dan 39 cubaan membunuh.

Tuduhan terbaharu itu diumumkan pihak polis terhadap pengganas warga Australia, Brenton Tarrant yang dijadual menghadapi perbicaraan pertamanya, esok.

Pengganas berusia 28 tahun itu, pertama kali muncul di Mahkamah Daerah Christchurch pada 16 Mac lalu, sehari selepas melakukan serangan di Masjid al-Noor dan Masjid Linwood yang meragut 50 nyawa ketika solat Jumaat.

Berpuluh mangsa lain turut cedera susulan serangan bersenjata yang distrim secara langsung pengganas terbabit.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi New Zealand mengesahkan Tarrant akan ‘hadir’ ke perbicaraan esok menerusi sidang video dan pihak media tidak dibenarkan merakam, mengambil gambar atau membuat rakaman audio ketika perbicaraan terbabit. – NZ HERALD