Pengerusi Masjid Kesal Digelar Pembunuh Anjing

SEDIH… Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Lavender Heights di Seremban, Negeri Sembilan kesal apabila wajahnya dikongsi 60,000 kali dalam media sosial dan dituduh sebagai pembunuh anjing.

Menurut Mohd. Asna Amin, penghinaan itu bermula selepas sebuah persatuan bela anjing mendakwa beliau konon terlibat dalam kes beberapa ekor haiwan tersebut mati dipercayai diberi racun di taman tersebut awal bulan ini.

“Heboh satu negara mengatakan imam masjid yang bunuh anjing sedangkan haiwan itu hanya ditemukan mati di luar masjid. Jarak anjing yang mati itu dengan masjid pula kira-kira satu kilometer. Saya jadi mangsa keadaan!

“Anjing masuk ke dalam masjid dan kemudian mati di luar tetapi sehingga sekarang saya seorang sahaja disiasat,” katanya dalam nada kesal ketika dialog antara penduduk dengan pihak berkuasa berhubung isu anjing malam tadi.

Turut hadir pada sesi di taman perumahan itu ialah Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Nik Hamidah Nik Husin dan kira-kira 200 penduduk.

Untuk rekod, Mohd. Asna disiasat pihak polis selepas seorang penduduk bukan Islam mendakwa tiga ekor anjing termasuk seekor miliknya ditemukan mati akibat diracun di taman berkenaan antara 1 hingga 4 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Asna mengakui memang terdapat gambar kejadian anjing mati disimpan dalam telefon bimbitnya, namun ia hanya gambar lama iaitu kira-kira tiga minggu sebelum kejadian tersebut baru-baru ini.

Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang merampas telefon bimbitnya konon untuk proses siasatan walhal dia telah memberi kerjasama penuh serta berharap gajet tersebut dapat dipulangkan segera.

“Telefon bimbit saya berharga RM21,000. Banyak gambar keluarga di dalamnya. Macam mana kalau gambar isteri dan anak saya ditularkan pengguna media sosial. Bagaimana dengan maruah kami.

“Hanya kerana kes anjing liar yang selalu bunuh kucing penduduk ditemui mati, telefon bimbit saya diambil. Saya menjadi pengarah 10 buah syarikat dan disebabkan isu ini sudah seminggu kerja saya terganggu,” kata Mohd. Asna.

Beliau juga berharap pihak berkuasa tidak mendakwanya dalam kes tersebut semata-mata untuk menutup kritikan daripada pertubuhan berkaitan anjing tanpa memikirkan kehidupan penduduk terganggu akibat haiwan itu sendiri.

Sementara itu, Hock Poh berkata, kes tersebut masih lagi dalam siasatan pihak polis dan meminta semua pihak tidak menularkan perkara berkenaan sehingga boleh menimbulkan kekecohan melibatkan masyarakat awam pula.

Mengenai telefon bimbit milik Mohd. Asna, katanya, ia dalam siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan berharap kedua-dua pihak bertemu dalam masa terdekat bagi bincang perkara tersebut. – Agensi/Mynewshub.TV

*Video ini sekadar hiasan…

Loading...