Pengedar Dadah Cuba Rempuh Polis Ditahan

75

Beaufort : Tindakan dua pengedar dadah cuba merempuh polis mendorong pihak berkuasa melepaskan tembakan ke arah tayar kereta penjenayah terbabit di Kampung Limbawang, di sini, malam tadi.

Ikuti Mynewshub: Facebook,TwitterTikTokTelegram, Instagram

Kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu bagaimanapun ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air banjir di Jalan Melulugus, berhampiran Kolej Komuniti Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki berkata, kejadian 8.30 malam itu berlaku ketika pemerhatian dijalankan di rumah tanpa nombor oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya, hasil pemerhatian itu, kereja dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan rumah berkenaan.

“Pasukan serbuan mendekati kereta itu dan mengarahkan pemandu (suspek) berhenti namun suspek bertindak agresif dan terus memandu laju ke arah pasukan serbuan sehingga hampir melanggar anggota polis.

“Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bagi tujuan keselamatan diri dan untuk menghalang kereta berkenaan.

“Namun kereta itu terus memecut menghala ke Jalan Melulugus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Yusoff berkata, pasukan serbuan terus mengejar kereta berkenaan sehingga di Jalan Melulugus berhampiran sebuah kolej dan kereta berkenaan terbabas di tepi jalan.

“Kedua-dua suspek kemudian bertindak melarikan diri namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemukan satu peket plastik lutsinar sederhana besar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu seberat 6.11 gram di atas tempat duduk sebelah pemandu.

“Kedua-dua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut dan suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

Menurutnya, mengikut semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

“Salah seorang suspek juga mengaku mendapatkan bekalan dadah syabu untuk diedar daripada seorang pengedar tempatan dan polis sedang menyiasat mengenainya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

-Harian Metro