Beca Melaka Wajib Main Lagu Dondang Sayang

MELAKA – Semua pengayuh beca di Melaka diwajibkan memasang lagu irama Dondang Sayang sebagai salah satu bentuk hiburan untuk disajikan kepada penumpang atau pelancong bermula tahun depan.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata langkah itu bertujuan mempromosikan irama berkenaan kepada pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019 selain memelihara warisan berkenaan untuk generasi akan datang.

“Semua pengusaha beca yang berlesen di Melaka wajib memutarkan irama Dondang Sayang dan bukannya hanya memainkan lagu kontemporari atau moden. Ia sebagai satu kaedah kita menghargai pengiktirafan daripada UNESCO terhadap Dondang Sayang sebagai ‘The Intangible Cultural Heritage of Humanity’ pada 29 Nov lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pengiktirafan Jasa dan Sumbangan Kebajikan kepada Pengayuh Beca yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka Datuk Muhamad Jailani Khamis dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Zairi Suboh, di sini hari ini.

Pada majlis itu, 54 pengayuh beca veteran berusia 55 tahun ke atas menerima bantuan kebajikan ‘one off’ berjumlah RM200.

Bernama dalam sebuah rencana eksklusif pada Oktober lepas melaporkan isu beca Melaka yang semakin hilang identiti akibat hanyut dengan komersialisasi pelancongan dengan kebanyakkan beca itu dihiasi watak filem dan kartun Barat serta memainkan lagu-lagu dari luar negara, menggantikan hiasan tradisional seperti corak flora, fauna dan awan larat serta lagu seperti dondang sayang.

Mengulas lanjut, Adly berkata promosi irama Dondang Sayang menerusi industri beca merupakan satu platform terbaik kerana pengayuh beca merupakan duta kecil sektor pelancongan negeri.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai insentif turut disediakan untuk kira-kira 325 orang pengayuh beca berlesen di negeri ini khususnya sempena TMM 2019.

Katanya antara inisiatif tersebut termasuk memberi lesen percuma untuk semua pengayuh beca berlesen di Melaka tahun hadapan sempena penganjuran TMM.

“Kita juga akan memberikan kursus komunikasi dan kelas bahasa seperti bahasa Inggeris, Mandarin, Jepun dan Korea untuk meningkatkan kemahiran komunikasi pengayuh beca memandangkan mereka adalah barisan hadapan industri pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata pengayuh baca juga diingatkan menjaga etika dan mengikut peraturan yang ditetapkan dalam berurusan dengan pelancong serta memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang penganjuran TMM 2019 kerana ia akan memberi kesan pada imej atau reputasi negeri. – BERNAMA

Loading...