Pengarah, Pekerja Syarikat Import Daging Sejuk Beku Ditahan

KUALA LUMPUR – Empat individu terdiri pengarah dan pekerja sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah dalam aktiviti penyeludupan bahan mentah itu.

Menurut sumber, kesemua mereka yang berusia antara 39 hingga 50 tahun ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

“Siasatan dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Sumber turut memaklumkan, SPRM sudah mengenal pasti pengimport daging sejuk beku yang dipercayai terbabit dengan rasuah dalam aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.

“SPRM mendapat kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“SPRM memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini bagi permohonan reman.

BH sebelum ini melaporkan mengenai kartel daging import yang dipercayai membawa masuk daging yang diragui status halal. – BH Online