Pengarah, Anak Lelaki Direman Kes Tuntutan Palsu

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan dan anak lelakinya ditahan reman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi membantu siasatan kes membuat tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000.

Perintah reman terhadap kedua-dua mereka dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Faridatul Farrah Mohd Shukri, yang mengarahkan kedua-dua mereka direman sehingga Sabtu ini.

Pengarah berkenaan yang berusia lingkungan 50-an bersama anak lelakinya tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini, pada jam 9 pagi.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah bahagian jabatan kerajaan, penjawat awam dan dua orang awam kerana bersubahat membuat tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000.

Mengikut sumber SPRM, hasil siasatan dijalankan mendapati kesemua mereka bersubahat membuat tuntutan palsu kepada jabatan itu berjumlah lebih RM100,000.

Katanya, tuntutan itu dibuat bagi program kemasyarakatan yang membabitkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar daerah di dalam Johor, yang mana kerja pembekalan program berkenaan tidak dilaksanakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan. – BH Online

Loading...