Penganjuran Majlis Sosial Dibenarkan Mulai 1 Julai

PUTRAJAYA – Kerajaan membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan mulai 1 Julai, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, beliau berkata majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir turut dibenarkan.

“Majlis boleh diadakan selama tiga hingga lima jam dan kapasiti kehadiran tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa serta tertakluk kepada saiz tempat majlis.

“Bufet tidak dibenarkan, bagaimanapun kita boleh melonggarkan walaupun ada bufet tapi dihidangkan oleh pramusaji,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan tetamu, pemakaian pelitup separuh muka serta perlu merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Selain itu, beliau berkata pintu keluar dan masuk bagi sesuatu majlis perlu diasingkan bagi mengelak kesesakan hadirin.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan bakal penganjur majlis tidak meneruskan hasrat tersebut sekiranya mendapati sukar untuk mengawal keadaan dan kehadiran ramai orang.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP yang melibatkan aktiviti dengan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarak sosial, semalam.

“PDRM juga membuat 68 sekatan jalan raya menerusi Operasi Benteng dan memeriksa 43,997 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong -lorong tikus.

“Susulan itu, seorang warganegara asing ditahan atas kesalahan imigresen,” katanya. – BERNAMA

Loading...