Penganjur ‘Lari’, Showcase Syamel, Ernie Esok Batal

KUALA LUMPUR – Gara-gara penganjur menyepikan diri tanpa sebarang berita, penganjuran showcase penyanyi Syamel dan Ernie Zakri sempena minggu setiausaha di sebuah hotel di Putrajaya yang sepatutnya berlangsung esok terpaksa dibatalkan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh kedua-dua penyanyi duet berkenaan ketika ditemui pada majlis khas Rocketfuel Entertainment di The Bee, Publika semalam.

Terdahulu, isu pembatalan persembahan mereka mula diperkatakan selepas satu ruangan pojok sebuah akhbar melaporkan penganjur tersebut iaitu Nafis Global Resources Sdn. Bhd. tiba-tiba menyepikan diri dan gagal dihubungi meskipun segala persiapan telah dilakukan kedua-dua penyanyi itu.

“Kami ada bertanya dengan pihak Rocketfuel dan mereka pun mengesahkan showcase itu terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab yang tertentu. Tetapi kami tidak berani bercakap mengenainya kerana ia melibatkan soal undang-undang.

“Walaupun sejujurnya kami berasa sangat terkilan kerana persiapan sudah dilakukan dan masing-masing teruja untuk mengadakan acara yang besar sebegini. Tetapi semuanya bergantung kepada rezeki. Jadi kami fikir lebih baik biar pihak pengurusan sendiri yang memberi kenyataan berkenaan hal ini,” ujarnya.

Meskipun acara itu ditangguhkan, namun Ernie berkata, pengurusan Rocketfuel telah bercadang untuk menganjurkan showcase lain yang akan diberitahu kelak.

“Sama ada masih menjalin kerjasama dengan penganjur yang sama atau tidak, itu kami tidak pasti. Sebab semua itu adalah bahagian pihak pengurusan untuk selesaikannya.

“Kepada peminat yang kecewa dengan berita ini, kami kesali kerana ia berlaku dan minta maaf kepada semua. Mungkin hikmah daripada kejadian ini nanti akan ada acara lain yang lebih besar untuk peminat, Insya-Allah,” katanya. – K! ONLINE

Loading...