Penganjur Himpunan Ubah PTPTN Akan Dipanggil Polis

KUALA LUMPUR – Penganjur Himpunan Mahasiswi Ubah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini, akan dipanggil polis bagi diambil keterangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah berkata, penganjur perhimpunan itu dipanggil bagi membantu siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Penganjur tiada permit dari polis untuk mengadakan himpunan itu malah kita dapati peserta himpunan kemudiannya berarak dari Masjid Jamek ke pusat beli-belah terbabit.

“Semua perkara itu kita akan di siasat mengikut APA 2012,” katanya ketika ditemui di pekarangan Sogo.

Terdahulu, kira-kira 50 mahasiswi berarak sejauh lebih kurang dua kilometer dari pekarangan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ke Sogo.

Himpunan sekitar pukul 2 petang itu merupakan anjuran Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) diantaranya bagi menggesa kerajaan mewajibkan pembayaran balik PTPTN ke atas individu yang bergaji RM4,000 ke atas sahaja. – K! ONLINE

Loading...