Penganggur Dihukum Mati Bunuh Anak Kekasih

SHAH ALAM – Perbuatan zalim seorang penganggur berbalas selepas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak teman wanitanya yang berusia 19 bulan, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguaan melebihi munasabah terhadap tertuduh, Aizat Abdullah Othman, 25.

Abdul halim dalam penghakimannya berkata, keterangan diberikan seorang saksi pendakwaan iaitu kanak-kanak berusia lima tahun juga didapati jujur.

“Keterangan itu termasuk mangsa ditumbuk, dibaling dan diikat menggunakan getah paip adalah keterangan benar walaupun datang dari kanak-kanak berusia lima tahun.

“Ia telah menyakinkan mahkamah perbuatan tertuduh zalim dan terkutuk. Keterangan tertuduh dan dua saksi pembelaan adalah tidak kredibiliti,” katanya.

Aizat yang berasal dari Marang, Terengganu didakwa membunuh Hannah Sufiyah Muhammad Adib berusia setahun tujuh bulan di blok B, Apartmen Teratai, Jalan Putra Perdana 10, Puchong di antara pukul 8 pagi hingga 2 petang, 31 Mac 2016.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Puspharasi mengemukakan seramai 26 saksi dan 71 eksibit sepanjang perbicaraan bermula 24 Mac 2017.

Sementara, dua saksi pembelaan dikemukakan dengan tertuduh diwakili Peguam Aqeeb Lizalman Nordin Zamery.

Akhbar Kosmo! pada 2 April 2016, melaporkan Hannah Sufiyah meninggal dunia selepas mengalami pendarahan di kepala dan beberapa kesan dera di badan akibat dihempas ke lantai di rumah tersebut.

Tertuduh diberkas polis sebaik sahaja bedah siasat selesai dilakukan terhadap mangsa.

Ibu mangsa pula yang bertugas di Jabatan Imigresen ditahan di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh ketika cuba membawa jenazah kanak-kanak itu untuk dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah. – K! ONLINE

Loading...