Pengamal Media Cemas Belon Udara Panas Tersasar

NIBONG TEBAL – Tersasar mendarat di kawasan semak setelah ditiup angin dan berakhir di atas jalan raya adalah antara detik cemas dilalui tujuh pengamal media yang menaiki sebuah belon udara panas di sini hari ini.

Bagaimanapun detik berkenaan tetap menjadi pengalaman menarik untuk pengamal media termasuk dua orang wakil Bernama yang membuat liputan penerbangan belon panas itu yang menjadi acara pengenalan sebelum permulaan Fiesta Belon Udara Panas Pulau Pinang 9 dan 10 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Yeoh Soon Hin turut bersama para media di dalam penerbangan belon udara panas itu yang dikendalikan oleh warga Belanda, Jonas Van Doorsselaere, 32.

Ekoran keadaan angin, belon berkenaan pada mulanya mendarat di satu kawasan semak sebelum Doorsselaere menerbangkannya semula dan mengambil keputusan mendaratkannya di tengah-tengah jalan raya yang berdekatan.

Para petugas MyBalloon Adventure mengambil langkah menghentikan lalu lintas sebelum belon berkenaan didaratkan dan dikemaskan dalam masa kira-kira 20 minit.

Sementara itu, mengulas mengenai perkara itu, pengarah MyBalloon Adventure Izzati Khairuddin berkata, pendaratan belon udara panas biasanya berlaku secara rawak bergantung kepada faktor angin.

Menyifatkan pendaratan itu sebagai biasa berlaku, Izzati berkata, walaupun pendaratan boleh berlaku di mana-mana tempat, namun keselamatan penumpang tetap menjadi keutamaan mereka.

Sebelum itu, Soon Hin bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri Jawi, H’ng Mooi Lye dan 15 orang pengamal media telah menaiki tiga belon udara panas yang disediakan dalam acara pengenalan itu untuk menikmati pemandangan sekitar Jawi dari ketinggian kira-kira 600 meter selama 30 minit. – BERNAMA

Loading...