Peneroka Bawa Tandan Sawit Protes Di Luar Parlimen

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pekebun kecil dan peneroka Felda berhimpun di luar bangunan Parlimen hari ini mendakwa Kementerian Industri Utama di bawah kerajaan Pakatan Harapan gagal melindungi kepentingan mereka.

Kira-kira 200 ahli badan bukan kerajaan yang mewakili pekebun kecil dan peneroka berkata, kerajaan sepatutnya tampil dengan rancangan jangka pendek dan panjang untuk menangani isu dalam industri kelapa sawit.

Mereka turut menuntut kerajaan menetapkan harga terendah untuk komoditi seperti getah dan kelapa sawit.

NGO itu termasuk Jawatankuasa Pembela Kebajikan Peneroka dan Pekebun Kecil Pemuda UMNO (Pembela), Pertubuhan Kebajikan Warga Felda Malaysia (PKWFM) dan Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (Generasi).

Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil Kementerian Industri Utama, Ahmad Fazlan Shah dan ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob, kumpulan itu menggesa kerajaan menyenaraikan langkah segera untuk pengurusan krisis, jika India mengurang atau menghentikan pengimportan minyak sawit dari Malaysia.

Mereka turut meminta peruntukan khas bagi mengurangkan beban pekebun kecil dan peneroka jika harga minyak sawit jatuh ke tahap terendah.

Mereka menggesa inisiatif menanam semula kelapa sawit dikembalikan kepada pekebun kecil melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, serta untuk kerajaan memperbaiki hubungan Malaysia dan negara pengimport minyak sawit.

Presiden Generasi, Nazara Muda berharap kerajaan akan menetapkan mekanisme kawalan harga untuk getah dan minyak sawit.

“Untuk getah, kami minta kerajaan putuskan (harga terendah).

“Begitu juga bagi minyak sawit, tetapi jika boleh, minyak sawit perlu ditetapkan pada purata di bawah RM600 atau RM550.”

Katanya, PH yang sudah 18 bulan berkuasa belum menunaikan janji dalam kertas putih dicadangkan dan mereka mempersoalkan komitmen Putrajaya mengekalkan harga komoditi serta memastikan kepentingan peneroka terpelihara.

Nazara berkata, NGO itu akan mengadakan kempen dan demonstrasi sama di seluruh negara, khasnya pada kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, untuk mendesak PH mengotakan janji menjaga 750,000 pekebun kecil dan peneroka.

Katanya, mereka sedia mengadakan dialog dan berkongsi pandangan dengan kerajaan berhubung perkara itu. – FMT

Loading...