Penerima Vaksin AstraZeneca Dilindungi Insurans

KUALA LUMPUR – Individu yang bakal menerima suntikan vaksin AstraZeneca mulai esok, dilindungi insurans, sekiranya mengalami sebarang kesan sampingan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata hal itu kerana pemberian suntikan pelalian AstraZeneca ialah sebahagian daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, sebanyak 268,800 dos vaksin keluaran United Kingdom (UK) itu turut diberikan secara percuma kepada penduduk di Malaysia, termasuk warga asing yang menetap di negara ini.

“Ya, vaksinasi menggunakan AZ (AstraZeneca) dilindungi menerusi Dana Kecederaan Vaksin COVID-19.

“Meskipun AZ ditawarkan secara pengambilan sukarela, keseluruhannya ia masih sebahagian daripada PICK.

“Ia juga (diberikan secara) percuma kepada penduduk memandangkan ia sebahagian dariapda PICK,” katanya menerusi akaun Twitter, @Khairykj, Sabtu lalu.

Permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca, kelmarin menerusi vaksincovid.gov.my ditutup dalam tempoh kurang empat jam apabila kesemua 268,800 dos ‘laris’ ditempah individu yang layak.

Pelalian berkenaan ditawarkan, mulai jam 12 tengah hari, Ahad lalu kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan menetap sama ada di Selangor atau Kuala Lumpur, manakala proses suntikan pelalian bakal dijalankan di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas, mulai esok.

Ia merangkumi Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL), Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC), Dewan 1, Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya (UM) dan Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, 22 Mac lalu mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan Dana Kecederaan Vaksin COVID-19, dengan nilai keseluruhan sebanyak RM10 juta buat masa ini, untuk menampung pembayaran pampasan kepada mana-mana individu yang mengalami sebarang kesan sampingan daripada program imunisasi.

Penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan teruk sehingga memerlukan rawatan untuk jangka panjang di hospital bakal diberikan pampasan bernilai RM50,000 manakala pembayaran menjangkau RM500,000 disalurkan kepada individu berkenaan atau waris, sekiranya cacat kekal atau meninggal dunia. – BH Online