Penerangan Ebit Lew Cetus Fenomena

PETALING JAYA – Sesi penerangan secara langsung pendakwah terkenal, Ebit Lew mengenai isu penghantaran kemanusiaan di Gaza, Palestin semalam mencetuskan satu fenomena apabila ditonton oleh lebih 300,000 orang.

Setakat pukul 1 tengah hari, jumlah tontonan meningkat kepada 2.2 juta dan ia semakin bertambah.

Sebelum ini, tontonan tinggi secara langsung pernah dicatatkan ialah ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 pada 8 Mei 2018. Setakat ini ia mengumpul jumlah tontonan sehingga 3.4 juta.

Menerusi siaran langsung lebih satu jam 31 minit minit itu, antara isu yang disentuh oleh Ebit adalah meminta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman mengemukakan bagaimana duit sumbangan rakyat Malaysia diagihkan untuk penduduk di Palestin.

Selain itu, Ebit juga menjawab persoalan yang dibangkitkan Muhammad Nadir Al-Nuri mengapa pihaknya membeli barang keperluan di Kaherah, Mesir.

Pada masa sama, Ebit turut menyangkal dakwaan yang mengatakan pihaknya memasuki Gaza dengan membayar harga yang tinggi kepada syarikat Hala.

Pendedahan itu ternyata memuaskan hati orang ramai selain mereka turut mendoakan agar Ebit terus tabah dalam melaksanakan misi dakwah dan bantuannya.

“Jangan putus asa ustaz, manusia ni biasalah, rambut sama hitam, hati lain-lain. Teruskan buat kebaikan.

“Kami bangga dan kami sokong atas kebaikan yang ustaz dah buat, moga Allah limpahkan rezeki dan permudahkan urusan ustaz dunia dan akhirat,” tulis Harridz Mia Mellysa pada ruangan komen.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna laman sosial yang dikenali sebagai Mohd. Eddry.

“Allah bersama ustaz, semoga ustaz tabah dan jangan pernah berputus asa membantu orang susah.

“Rasulullah SAW sendiri ada yang dengki dan benci, inikan kita manusia biasa yg bergelumang dengan dosa. Allah sayang ustaz,” katanya. – K! ONLINE