Penduduk Solat Hajat Permudah Pencarian Nora Anne

NILAI – Penduduk di sekitar pekan Pantai di sini mengadakan solat hajat selepas menunaikan solat Jumaat hari ini bagi memohon dipermudahkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, remaja perempuan warga Ireland yang dilaporkan hilang sejak Ahad.

Solat hajat itu dipimpin Imam 2 Masjid Kariah Pantai, Mohd. Taufek Awaludin dan disertai Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar bersama kira-kira 300 jemaah dari beberapa kampung.

Mohd. Taufek berkata, jawatankuasa masjid bersedia melakukan solat hajat secara berterusan sekiranya operasi pencarian itu berlarutan.

“Perkara ini (kehilangan Nora Anne) berlaku dalam kawasan kampung kami, jadi inilah ikhtiar kami agar Allah SWT memudahkan operasi mencari mangsa.

“Solat hajat ini kali pertama dilakukan penduduk di sini bagi kes kehilangan orang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada hari keenam misi pencarian itu hari ini.

Menurut Mohd. Taufek, kehilangan remaja itu kali pertama membabitkan tempoh agak lama yang pernah terjadi di situ.

“Sebelum ini ada dilaporkan kejadian serupa namun dalam kebanyakan kes, mangsa berjaya ditemui dalam masa singkat,” katanya.

Sementara itu, polis terus mengedarkan gambar Nora Anne berserta butiran seperti nama penuh, umur, nombor pasport dan tarikh hilang di sekatan jalan raya.

Selain itu, gambar remaja itu turut ditampal di kawasan tumpuan awam antaranya stesen bas dan kedai makan.

Ahad lepas, gadis yang mengalami masalah pembelajaran itu dilaporkan hilang selepas tiba bersama keluarganya dari London pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di sini.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada pagi Ahad. 

Loading...