Penduduk Kampung Gempar Saksikan Simulasi Banjir

ISKANDAR PUTERI – Penduduk Kampung Sungai Melayu di sini menjadi gempar apabila sekumpulan lelaki dan wanita dalam sebuah rumah bot di Sungai Melayu tiba-tiba menjerit meminta tolong, awal pagi ini.

Beberapa minit kemudian, kelihatan tiga bot masing-masing milik pasukan Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghampiri bot berkenaan bagi menyelamatkan mangsa yang terkandas.

Suasana bertukar panik apabila seorang daripada mangsa lelaki terjatuh ke dalam sungai sebelum dibantu pasukan polis dan bomba yang pantas bertindak menyelamat.

Itu adalah adegan sebahagian daripada simulasi Latih Amal Ex-Banjir Kontinjen Johor 2018 yang berlangsung selama 30 minit, melibatkan kira-kira 100 pegawai dan anggota dari tiga agensi berkenaan.

Latihan berikut dianjurkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dengan kerjasama JBPM, APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Turut hadir menyaksikan simulasi itu, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, Pengarah JBPM Johor Datuk Yahaya Madis dan Pengarah APM negeri Kolonel Mat Zin Bujang.

Sementara itu, Mohd Khalil berkata setiap agensi yang terlibat menjayakan simulasi berkenaan mempunyai kepakaran tersendiri dan tanggungjawab masing-masing.

Oleh itu, dengan latihan seumpama ia boleh mengeratkan kerjasama sesama anggota dan pegawai dari agensi berlainan dalam menghadapi sesuatu keadaan seperti banjir yang memerlukan kerjasama erat.

“Kita punya fasa sebelum, semasa dan selepas dalam simulasi itu yang penting bagi memberi gambaran sebenar sekaligus memastikan semuanya teratur dan kita bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan sekiranya banjir berlaku,” katanya kepada pemberita selepas selesai menyaksikan simulasi berkenaan.

Tambahnya, latihan itu juga dilakukan bagi melihat tempoh bertindak agensi yang terlibat sekaligus memastikan tindakan dapat dilakukan dengan segera. – BERNAMA

Loading...