Penduduk Islam Minta Perlahan Bunyi Pembesar Suara Ketika Azan

PONTIAN – Jika sebelum ini sering kedengaran orang bukan Islam merungut atau tidak berpuas hati dengan laungan azan daripada pembesar suara di surau atau masjid, agak memeranjatkan apabila seorang Melayu Islam tergamak berbuat demikian.

Insiden pelik tetapi benar itu berlaku di Masjid Nurul Iman Kampung Melayu, Mukim Api-Api di sini pada bulan lalu melibatkan penduduk setempat.

Lebih mengejutkan penduduk berkenaan yang mahukan laungan azan daripada pembesar suara itu diperlahankan bukan pertama kali berlaku.

Malah penduduk terbabit membuat aduan kepada Pejabat Kadi Daerah Pontian lantas satu surat dikeluarkan yang mengarahkan supaya bunyi daripada pembesar suara sama ada semasa azan atau sebarang aktiviti disederhanakan.

Tujuannya bagi menjaga keharmonian selain dapat menjernihkan keadaan antara ahli kariah dengan pihak pengurusan masjid berkenaan.

Menurut Pengerusi masjid berkenaan, Abdul Salam Ahmad Shah, isu melibatkan penduduk tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara di sini bukan perkara baharu.

“Tidak silap saya pada tahun lepas dia pernah mencekik seorang penceramah kemudian beritahu bising sangat. Perkara itu sudah pun dilaporkan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu surat pada tarikh 25 Julai 2019 itu yang bertajuk Arahan menyederhanakan bunyi pembesar suara lorong luar ketika azan dikumandangkan kepada Masjid Nurul Iman tular dalam media sosial.

Kandungan surat itu antara lain memaklumkan, merujuk aduan lisan pengadu yang namanya telah dipadamkan kepada Imam Daerah Pontian pada 23 Julai lalu selain meminta pihak masjid menyederhanakan kekuatan pembesar suara ketika azan dan penggunaan pembesar suara untuk segala aktiviti pada bahagian dalam sahaja di pasang, demi keharmonian semua pihak.

Abdul Salam mengakui kesal dengan penularan surat itu selain menegaskan perkara tersebut tiada kena mengena dengan isu kaum atau parti politik.

Pihaknya juga ralat kerana penularan surat tersebut menimbulkan pelbagai anggapan yang salah dan persepsi negatif kerana melibatkan agama Islam dan pada masa sama menegaskan tidak tahu bagaimana surat itu menjadi tular.

Jelasnya, surat tersebut sebelum ini pernah diletakkan pada papan tanda di pintu masjid selepas diserahkan kepada jawatankuasa masjid. – UTUSAN ONLINE

Loading...